loading...

HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA HARI RAYA IDIL FITRI BERLAKU PADA HARI JUMAAT



iklan responsive


Jabatan Mufti Kerajaan Negeri

Negeri Sembilan Darul Khusus





بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ







الحَمْدُ لِلهِ رَبِّ العَالَمِينَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.



‘Idul Fitri adalah merupakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam yang telah berjaya menyempurnakan ibadah puasa dan melepasi halangan-halangan nafsu pada bulan Ramadhan.



Terkadang ‘Idul Fitri atau ‘Idul Adha disambut pada hari Jumaat, justeru ramai umat Islam merasakan tidak perlu lagi bersolat Jumaat dengan alasan telah mendirikan solat sunat ’Id.







Pengertian Solat Jumaat dan Solat Sunat ’Id



Solat Jumaat ialah solat secara berjemaah pada hari Jumaat setelah masuknya waktu Zohor menggantikan solat Zohor yang didahului dengan dua khutbah beserta rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu. Dalil kefardhuan solat Jumaat telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam kitabNya,



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ.



Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).[1]



Sementara solat sunat ‘Id pula ialah solat sunat yang dilakukan pada pagi hari raya dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu.



Perbezaan antara solat Jumaat dengan solat sunat ‘Id ialah pada masa khutbahnya dibaca. Solat Jumaat, khutbah dibaca sebelum solat sementara bagi solat sunat ‘Id pula, khutbah dibaca sesudah solat sunat ‘Id dilakukan.







Cara Menunaikan Solat Sunat ‘Id.



Secara umumnya, cara solat sunat ‘Idul Fitri/Adha adalah sama seperti menunaikan solat fardhu Jumaat kecuali pada dua perkara:



Niat
أُصَلِّى سُنَّةَ عِيدِ الفِطْرِ/ عِيدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا/مَأْمُومًا لِلهِ تَعَالَى

Yang bermaksud, Sahaja aku solat sunat ‘Idul Fitri/‘Idul Adha dua rakaat menjadi/mengikut imam kerana Allah Taala.



Takbir tujuh kali selepas takbiratul ihram pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua selepas takbir al-Intiqalat.






Permasalahan Hukum Sekiranya Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat: Haruskah Kita Meninggalkan Solat Jumaat?



Mengikut Imam Syafi‘e r.a, kewajipan mendirikan Jumaat itu umum bagi semua hari, yakni kefardhuan untuk melakukan solat Jumaat itu tidak akan gugur walaupun pada hari tersebut umat Islam telah mendirikan solat sunat ‘Id.



Menurut Imam Syafi‘e r.a ahli Qura atau ahli Badwi diberi keringanan (الرخصة) untuk tidak mendirikan solat Jumaat. Manakala ahli Balad kewajipan itu sama sekali tidak gugur. Hal ini berdasarkan sabda nabi SAW,

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

Maksudnya: “Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, barangsiapa yang ingin maka ia (solat sunat hari raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat, adapun kami, menghimpunkan (lakukan kedua-duanya).”[2]



Ditegaskan lagi dengan athar daripada saidina Uthman r.a,



مَنْ أَحَبَّ مِنْ أَهْلِ العَالِيَةِ أَنْ يَنْتَظرَ الجُمُعَة فَلْيَنْتَظرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَلْيَرْجِعْ.



Yang bermaksud, “Mana-mana ahli ‘Aliah (pendalaman) yang mahu menunggu solat Jumaat maka bolehlah mereka menunggunya, tetapi sesiapa di kalangan mereka yang mahu pulang, maka pulanglah.



Mengikut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik pula, setiap mukallaf itu dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya, iaitu solat Jumaat dan solat sunat ‘Id. Maka antara kedua solat itu tidak boleh menjadi pengganti antara satu dengan yang lain.





Pengertian Ahli Balad, Ahli Qura atau Ahli Badwi



Ahli Balad
Ahli Balad ditakrifkan sebagai penduduk sebuah penempatan yang mana padanya terdapat segala kemudahan mendirikan solat Jumaat seperti masjid. Selain itu, mereka juga mudah untuk mendengar seruan azan bagi menandakan telah masuknya waktu solat Jumaat.



Ahli Qura atau ahli Badwi
Ahli Qura atau ahli Badwi pula ditakrifkan sebagai kaum atau penduduk yang tinggal di pendalaman atau tempat terpencil yang tidak terdapat kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat atau solat ‘Id secara berjemaah dan juga tidak terdengar seruan bagi menandakan waktu solat.





Alasan Mengapa Diberikan Rukhsah dan Keringanan Kepada Ahli Qura atau Ahli Badwi pada meninggalkan Fardhu Jumaat



Mengikut Imam Syafi‘e, keringanan (الرخصة) untuk tidak mendirikan solat Jumaat hanya diberikan kepada Ahli Qura atau ahli Badwi kerana terdapatnya kesusahan dan kepayahan (المشقة ) untuk datang semula ke masjid setelah menunaikan solat ‘Id disebabkan tidak terdapatnya kemudahan untuk mereka berulang-alik antara tempat tinggal dengan masjid.
Kesusahan (المشقة ) dan halangan untuk menunaikan solat Jumaat itu adalah sebab kepada gugurnya kewajipan menunaikan solat Jumaat.
Sekiranya mereka (Ahli Qura) keluar dari masjid sebelum tergelincir matahari, maka mereka diizinkan untuk meninggalkan solat Jmaat.
Tetapi jika sebaliknya, mereka wajib menunaikan solat Jumaat sebelum pulang ke rumah.
Rukhsah dan keringanan untuk meninggalkan solat Jumaat ini bukan disebabkan oleh jatuhnya Hari Raya itu pada hari Jumaat, tetapi sebaliknya, keringanan (الرخصة) itu disebabkan oleh kesusahan dan halangan untuk menunaikan Jumaat yang dihadapi oleh Ahli Qura atau ahli Badwi yang mana mereka tinggal jauh daripada masjid dan tidak mempunyai kemudahan asas yang mencukupi pada ketika itu untuk menunaikan solat Jumaat.




Kesimpulan

Realiti masyarakat Negeri Sembilan hari ini, tidak boleh disamakan dengan Ahli Qura atau ahli Badwi yang mana mereka terpaksa mengharungi kesusahan dan kepayahan bagi menunaikan solat sunat ‘Id dan solat Jumaat pada hari yang sama sebagaimana yang telah dinyatakan. Ini kerana di Negeri Sembilan pada hari ini terdapat banyak kemudahan dan infrastuktur yang telah disediakan seperti jalan raya, pengangkutan, masjid di setiap kampung dan juga terdapat media elektronik sebagai alat perantara untuk memberitahu telah masuknya waktu solat fardhu. Maka tidak terdapat kepayahan dan kesusahan serta alasan bagi umat Islam di Malaysia umumnya dan di Negeri Sembilan khususnya daripada meninggalkan solat Jumaat.



Rujukan

Bughyah al-Mustarsyidin, Syiekh Abd. Rahman Ba ‘Alawi.
‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Abi al-Tayyib Mohd. Al-Haq al-‘Azim.
Al-Mufassal fi Ahkam  al-Mar’ah, Dr. Abd. Karim Zaidan.
Ahsan al-Kalam, ‘Atiah Saqar.
Bidayah al-Mujtahid, Abi al-Walid Mohd. bin Ahmad.




Takbir Hari Raya



Sunat bertakbir pada hari raya Aidil Fitri dan bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah Haji apabila matahari terbenam pada malam Aidil Adha hinggalah imam mula bersolat hari raya.



Takbir adalah bertujuan untuk membesarkan dan mengagungkan Allah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Nya. Ianya adalah cara yang dianjurkan oleh Islam untuk menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan kita di atas ibadah wajib dan sunat yang kita lakukan pada Aidil Fitri dan Aidil Adha serta hari Tasyriq. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah 185,





وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ



Yang bermaksud, …dan juga supaya kamu cukup bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.[3]





Dan hadith Nabi saw,



أَنَّ النَّـبِيَّ (ص) ضَحَّى بِكِبَـشَيْنِ أَمْـلَـحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّـرَ

Yang bermaksud, Nabi saw menyembelih dua ekor kibasy yang bertanduk besar sebagai qurban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir…





Ianya dilafazkan dengan suara yang nyaring sama ada di rumah, di jalan-jalan dan di tempat-tempat awam.





Takbir dilafaz dan dilaungkan pada empat keadaan:



Sebelum solat hari raya. Iaitu setelah terbenam matahari pada malam hari raya hinggalah sebelum imam menunaikan solat hari raya.


Dalam solat hari raya. Di mana pada rakaat pertama kita akan melakukan 7 kali takbir dan diselangi dengan tasbih dan pada rakaat kedua 5 kali takbir dan diselangi dengan tasbih.


Dalam khutbah. Iaitu pada khutbah pertama khatib akan bertakbir 9 kali takbir dan pada khutbah kedua sebanyak 7 kali takbir.


Selepas solat (bagi Aidil Adha).


Semasa Aidil Adha semua orang Islam sama ada yang mengerjakan haji atau pun tidak, sunat bertakbir selepas setiap solat fardhu atau solat sunat. Ini bermula dari solat subuh hari Arafah (subuh 9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar hari Tasyriq yang terakhir.



Adapun semasa hari Aidil Fitri tidak sunat bertakbir selepas bersolat malah sunatnya terputus apabila imam memulakan solat sunat hari raya.



Justeru, marilah kita bersama-sama bertakbir pada malam dan pada hari raya, mengagungkan Allah sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan daripada kita berkaraoke dan menyampaikan salam hari raya dengan lagu-lagu.



والله أعلم







Lafaz Takbir Hari Raya





اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ،

لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ،

اَللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ                                          3x



اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالحَمْدُ لِلهَ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً،

لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُونَ،

لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ،

لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ،

اَللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ


















[1] Al-Jumu‘ah 009.

[2] Riwayat Abu Daud (1073) dan Ibn Majah

[3] Al-Baqarah 185

ikalan saiz 250





JOM DERMA IKHLAS KE :


loading...

0 Response to "HUKUM SOLAT JUMAAT JIKA HARI RAYA IDIL FITRI BERLAKU PADA HARI JUMAAT"

Post a Comment

loading...
'));