loading...

RAMAI ORANG TIDAK SEDAR DAN TIDAK TAHU WAKTU AFDAL ZIARAH KUBUR, ROH IBU BAPA ADA DI KUBUR TUNGGU ANAK MEREKA,,,1X ANDA BAGI DAN SEBAR MUNGKIN DAPAT MENGINSAFKAN BERIBU INSAN YANG



iklan responsive


Salam.



Kuliah dhuha masjid al-ehsan bandar kinrara.



Tajuk : Adab menziarahi kubur.



Terutama kubur ibubapa. Disunatkan menziarah pd hari khamis selepas asar, sepanjang hari jumaat dan hari sabtu sebelum zohor. Waktu ini roh ada diperkuburan dan menunggu anak2 menziarahinya.



Iman al-Bukhari meriwayatkan drpd Abu Hurarah r.a Hadis rasulullah saw :

Seorang anak yg menziarahi kubur ibubapanya pd hari2 tersebut diatas akan dicatatkan kepadanya pahala seperti membuat kebaikan kpd kedua ibubapanya semasa hayat mereka. Dan dosa2 anak tersebut diampunkan oleh Allah SWT.

Jika anak tersebut adalah seorang yg derhaka semasa hayat ibubapanya, dengan menziarahi kubur ibubapa akan dicatatkan sebagai anak yg taat.

Ketika dikubur :



1. Memberi salam kpd simati dgn panggilan yg biasa semasa hayatnya. Seperti ” Assalamualaikum mak/bapa”. Roh mendengar dan menjawab salam.

2. Hendaklah kita menghadap kearah muka/kepala simati dan kita membelakangkan kiblat.



3. Membaca quran atau doa2 yang baik untuk simati.



Semoga Bermafaat Untuk Anda Semua.Share jika Berguna Untuk Sanak Saudara Yang Lalai Dengan Dunia,Arwah Tersayang Di Alam Kubur Menunggu Doa.



Kitab Riyadhus Solihin, kupasan oleh Ust. Norazan



larangan-larangan ketika menziarahi kubur



(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah (ﷺ), keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)



ZIARAH kubur merupakan amalan yang pada lazimnya lebih bersemarak di bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri. Terdapat juga sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan secara lebih kerap seperti seminggu sekali, umpamanya setiap hari Jumaat, sebulan sekali atau pada waktu-waktu tertentu yang dipersetujui oleh ahli keluarga untuk berziarah beramai-ramai ke kubur.



Ziarah kubur bukan satu amalan biasa. Bahkan ia merupakan satu ibadat. Walaupun kubur merupakan tempat persemadian jasad orang yang sudah meninggal dunia, ia bukan satu tempat sembarangan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Oleh sebab itu, dalam syariat Islam, amalan ziarah kubur mempunyai larangan-larangannya yang tersendiri yang perlu dijauhi supaya amalan tersebut, yang asalnya merupakan satu ibadat, tidak menjadi amalan yang sia-sia atau mendatangkan dosa.



Hukum Ziarah Kubur



Hukum menziarahi kubur bagi lelaki adalah sunat. Manakala bagi golongan perempuan pula, sama ada perempuan yang dalam keadaan suci mahupun dalam keadaan haidh atau nifas, hukumnya adalah makruh.



Ini dengan syarat perempuan itu mampu mematuhi segala syarat serta larangan ketika menziarahi kubur, seperti mampu mengawal kesedihan, menjaga aurat, terhindar daripada fitnah dan sebagainya. Sekiranya perempuan itu tidak berupaya untuk mematuhi segala syarat serta larangan tersebut, maka hukum menziarahi kubur bagi perempuan menjadi haram.



Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah (ﷺ). Ini kerana menziarahi kubur Baginda disunatkan ke atas lelaki mahupun perempuan. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.



Hikmah Ziarah Kubur



Ziarah kubur mempunyai banyak hikmah. Antaranya :



1. Supaya dikasihi Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengikut dan menghidupkan sunnah Rasulullah (ﷺ).



2. Bagi merenung asal-usul kejadian manusia yang berasal daripada tanah dan akan kembali semula ke tanah.



3. Bermuhasabah dengan mengingati hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat, sama ada akan layak menuju ke syurga atau sebaliknya.



4. Mengambil iktibar serta pengajaran dari apa yang telah berlaku, untuk melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran.



5. Mengingat kembali pengorbanan orang-orang yang berjasa dan orang-orang yang berjihad kerana menegakkan kalimah Tauhid.



6. Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia.



7. Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdoa dan memohon keampunan untuk mereka.



Larangan-Larangan Ketika Menziarahi Kubur



Ziarah kubur mempunyai larangan-larangan tertentu yang perlu dijauhi. Antara larangan tersebut ialah :



1. Membuka aurat. Bahkan hendaklah menutup aurat dengan sempurna dengan memakai pakaian yang sopan, bersesuaian dan mematuhi tuntutan syara’.



2. Duduk atau bersandar tanpa apa-apa keperluan di atas kubur kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh di sisi syara’.



Bagaimanapun, jika terpaksa melakukannya kerana suatu keperluan atau darurat, contohnya kerana tidak ada ruang disebabkan keadaan tanah perkuburan yang kuburnya sudah sesak dan padat serta berdekatan di antara satu kubur dengan kubur yang lain, maka dalam hal seumpama ini tidak makruh duduk atau bersandar di atasnya.



Larangan duduk di atas kubur itu ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah (ﷺ) telah bersabda :



Maksudnya : ”Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur.” (Hadits riwayat Muslim)



Adapun duduk di sekitar atau di sekeliling kubur pula, yakni bukan di tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak dilarang.



3. Berjalan di atas kubur atau memijaknya tanpa keperluan kerana memijak itu sama hukumnya seperti duduk.



Walau bagaimanapun, jika tidak ada jalan lain menuju ke kubur yang hendak diziarahi itu melainkan dengan memijak kubur yang lain, maka dalam keadaan sedemikian harus hukumnya memijak kubur kerana adanya keperluan.



Adapun lalu atau memijak kawasan persekitaran dalam tanah perkuburan yang bukan tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak makruh walaupun memijaknya atau lalu di atasnya tanpa keperluan. Ini kerana larangan daripada memijak, begitu juga duduk, berbaring atau bersandar itu hanyalah khusus jika dilakukan di atas kubur tempat mayat ditanam sahaja dan bukan di persekitaran atau tempat laluan yang disediakan di kawasan tanah perkuburan.



4. Meratap, memekik, meraung serta memukul-mukul pipi kerana terlalu dukacita. Rasulullah (ﷺ) melarang perbuatan sedemikian sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda :



Maksudnya : ”Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya dan mengoyak-ngoyak koceknya dan berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Adapun perasaan sayu, hiba, sedih atau air mata yang mengalir tanpa pekikan, ratapan dan yang seumpamanya tidak dilarang kerana kesedihan dan air mata itu merupakan tanda rasa kasih terhadap ahli kubur atau kerana perasaan insaf dan gerun terhadap kematian serta hari pembalasan.



5. Berkata batil mahupun bergurau senda, menyanyi-nyanyi dan berbual kosong ketika berziarah.



Sebaliknya hendaklah diisikan waktu ziarah kubur itu dengan bermuhasabah dan mengambil iktibar serta menghadiahkan bacaan ayat suci Al-Quran dan berdoa memohonkan kesejahteraan dan keampunan untuk si mati yang diziarahi serta ahli-ahli kubur yang lain.



6. Melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengelilinginya, mengambil dan mengusap-usap tanahnya dan yang seumpamanya bagi tujuan pemujaan atau kepercayaan tertentu seperti beroleh berkat, kesembuhan dan sebagainya. Perkara sesat seperti ini adalah haram dan ia akan menjejaskan kesucian agama Islam dan menjatuhkan pelakunya ke lembah syirik.



7. Membuang air kecil ataupun air besar di atas kubur kerana perbuatan tersebut haram di sisi syara’. Begitu juga tidak wajar berak dan kencing di persekitarannya kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh dan merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan tidak bertamadun.



8. Mengotorkan kawasan tanah perkuburan dengan meninggalkan sisa-sisa plastik, surat khabar, botol dan sebagainya.



Membuang sampah atau apa-apa sisa buangan di kawasan tanah perkuburan bukan sahaja mencemarkan kehormatan kubur serta ahli kubur, bahkan ia turut sama menyusahkan dan menyakiti penziarah kubur yang lain.



Segala kotoran tidak kira sama ada yang mendatangkan bau busuk ataupun tidak, wajib dijauhkan dari kubur orang Islam kerana menyakiti orang Islam yang datang ziarah di situ serta menyakiti mayat orang Islam hukumnya haram.



9. Menurut Imam ad-Dardir Rahimahullah, seorang ulama dari Mazhab Maliki, makruh hukumnya makan dan minum ketika ziarah kubur. Perbuatan seumpama ini jelas sekali tidak selari dengan pensyariatan dan hikmah ziarah kubur yang sepatutnya mendatangkan rasa gerun dan insaf kerana ia memperingatkan perihal kematian dan hari akhirat.



10. Merokok di kawasan tanah perkuburan. Selain haram, merokok juga mengotorkan kerana debu dari puntung rokok yang berterbangan serta puntung rokok yang selalunya akan dibuang merata-rata. Perbuatan sedemikian merupakan satu pencemaran dan pencabulan terhadap hak dan kehormatan kubur serta ahli kubur. Selain itu, ia juga memudharatkan dan mengganggu keselesaan penziarah kubur yang lain. Ini jelas sekali merupakan perbuatan yang tidak elok dan tidak selari dengan perlakuan seorang Muslim. Penziarah kubur bukan sahaja perlu menjaga kehormatan si mati yang mereka ziarahi, bahkan mereka juga perlu menghormati seluruh ahli kubur serta penziarah yang lain.



Tidak sempurna kedudukan seseorang itu sebagai seorang muslim selagi mana dia masih mengganggu dan menyakiti orang lain dengan perbuatan buruknya. Abu Musa al-Asy’arie dan ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah (ﷺ) telah bersabda :



Maksudnya : ”Seorang Muslim (yang terbaik dan sempurna) itu ialah siapa yang selamat orang-orang Islam (yang lainnya) dari (perbuatan buruk) lidahnya dan tangannya (segenap perbuatannya).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)



11. Khusus bagi golongan perempuan pula, selain larangan-larangan di atas, terdapat beberapa larangan khusus yang patut dijauhi ketika menziarahi kubur, iaitu :



1) Berziarah kubur tanpa keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, maka perempuan itu tidak dibenarkan untuk berziarah kubur.



2) Bersolek, berhias-hias dalam berpakaian serta memakai harum-haruman ketika ziarah kubur. Ini kerana selain perkara tersebut dilarang di waktu dan tempat yang lain kerana boleh menimbulkan fitnah, ia juga tidak selari dengan hikmah amalan ziarah kubur yang disyariatkan antaranya untuk mengingati mati dan hari akhirat.



3) Berziarah kubur seorang diri. Bahkan hendaklah dia ditemani oleh suami ataupun mahramnya.



4) Melafazkan bacaan Al-Quran bagi perempuan yang dalam haidh atau nifas.



Sepertimana yang diketahui, perempuan yang haidh atau nifas dilarang daripada membaca Al-Quran dengan mengeluarkan suara, walaupun bacaan tersebut hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri. Adapun membaca ayat Al-Quran di dalam hati tanpa menggerakkan lidah, atau dengan menggerakkan lidah tetapi tidak kedengaran olehnya sendiri adalah diharuskan.



Oleh yang demikian, perempuan yang haidh atau nifas boleh membaca Al-Quran dalam hati jika dia hafal atau dengan melihat kepada mushaf yang berada pada orang di sebelahnya.



Selain boleh membaca Al-Quran dalam hati ketika menziarahi kubur, perempuan yang haidh atau nifas juga boleh mengisikan waktu ziarah dengan melakukan amalan lain yang bermanfaat contohnya mendoakan ahli kubur dengan doa-doa yang warid yang diajarkan oleh Rasulullah (ﷺ) .



Demikian beberapa penjelasan tentang larangan-larangan yang perlu dijauhi ketika ziarah kubur. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat membantu kita melaksanakan amalan ziarah kubur dengan lebih sempurna serta terhindar daripada perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan amalan tersebut kepada satu perbuatan yang mendatangkan dosa atau dikeji syara’.

Sumber: www.duniadanakhirat.com

ikalan saiz 250





JOM DERMA IKHLAS KE :


loading...

0 Response to "RAMAI ORANG TIDAK SEDAR DAN TIDAK TAHU WAKTU AFDAL ZIARAH KUBUR, ROH IBU BAPA ADA DI KUBUR TUNGGU ANAK MEREKA,,,1X ANDA BAGI DAN SEBAR MUNGKIN DAPAT MENGINSAFKAN BERIBU INSAN YANG"

Post a Comment

loading...
'));