loading...

SOLAT ZOHOR WANITA PADA HARI JUMAAT



iklan responsive


Hari Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa, hari kebesaran  bagi umat Islam dan hari yang paling agung daripada hari-hari  yang lain. Sebagai bukti keagungan hari Jumaat, dalam sebuah  hadits telah disebutkan bahawa hari Jumaat adalah lebih baik  daripada Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fitri.
 Pada hari tersebut  juga disyari‘atkan ibadat yang agung, iaitu sembahyang Jumaat  yang mempunyai banyak fadhilat, antaranya sebagai penghapus  dosa dalam setiap minggu sebagaimana maksud hadits bahawa  sembahyang Jumaat hingga ke Jumaat seterusnya adalah penebus  dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa  besar. Melihat kepada keistimewaan hari Jumaat itu, pastinya tiada  sesiapapun yang diwajibkan ke atasnya sembahyang Jumaat akan  melepaskan dengan senghaja daripada merebut dan meraih segala  fadhilat yang dijanjikan pada hari tersebut. Namun dalam  sesetengah keadaan, disebabkan ada keuzuran ataupun kerana tidak  memenuhi syarat wajib Jumaat, seseorang itu diharuskan oleh  syara‘ untuk meninggalkan sembahyang Jumaat dan diwajibkan ke  atasnya untuk bersembahyang Zuhur.
Persoalan yang timbul bagi  orang yang termasuk dalam kelompok tersebut ialah bilakah  masanya untuk mengerjakan sembahyang Zuhur? Adakah dia  dituntut mendirikan sembahyang sejurus sahaja masuk waktu  Zuhur atau mestikah dia menunggu sehingga sekira-kira imam  selesai sembahyang Jumaat? Dalam perbincangan pada kali ini akan dijelaskan mengenai  ketetapan hukum pelaksanaan sembahyang Zuhur bagi orang yang  mempunyai keuzuran Jumaat dan orang yang tiada keuzuran  Jumaat.  Kewajipan Sembahyang Jumaat  Hukum mendirikan sembahyang Jumaat secara berjemaah itu  adalah wajib ke atas setiap muslim kecuali beberapa golongan  tertentu sahaja.
Perkara ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:  Maksudnya: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas  setiap muslim (dikerjakan) dalam jamaah, kecuali empat  (golongan): hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau  orang yang sakit.” (Hadits diriwayatkan oleh al-Hakim)  Para ulama menjelaskan bahawa pengecualian sembahyang Jumaat  antaranya adalah ke atas golongan perempuan, orang yang tidak  mukallaf seperti kanak-kanak, orang gila, orang pengsan, hilang  akal bukan kerana disebabkan oleh perkara yang diharamkan  syara‘ dan orang yang mempunyai keuzuran dari segi syara‘  antaranya orang sakit dan musafir bukan kerana maksiat. 
Kesimpulan daripada penjelasan serta hadits di atas, dapat  difahami bahawa mereka yang dikecualikan daripada menghadiri  sembahyang Jumaat terbahagi kepada dua:  • Golongan yang pertama pada asalnya diwajibkan menghadiri  sembahyang Jumaat, tetapi oleh sebab ada keuzuran syara‘,  maka tidaklah diwajibkan ke atas mereka mendirikan  sembahyang Jumaat, seperti orang yang sakit dan musafir.  • Golongan yang kedua pula, sememangnya tidak diwajibkan  menghadiri sembahyang Jumaat seperti golongan perempuan  dan kanak-kanak.
Menurut sepakat ulama, sembahyang  Jumaat tidak diwajibkan atas golongan perempuan, akan  tetapi jika dia meninggalkan sembahyang Zuhur dan  mengerjakan sembahyang Jumaat, maka yang demikian itu  adalah memadai dan tidak perlu lagi mengerjakan  sembahyang Zuhur.  Bagaimanapun orang yang musafir juga masih digalakkan untuk  menunaikan sembahyang Jumaat supaya keluar daripada khilaf  (perselisihan ulama). Begitu juga disunatkan ke atas orang yang  sakit jika dia berdaya dan kanak-kanak sebagai latihan dan untuk  membiasakannya.
Kanak-kanak lelaki apabila mencapai umur  tujuh tahun wajib disuruh atau diarahkan untuk bersembahyang  Jumaat dan memukulnya jika dia enggan apabila mencapai umur  sepuluh tahun, sebagaimana kewajipan menyuruhnya menunaikan  sembahyang fardhu.  Kedudukan Sembahyang Zuhur Bagi Yang Tidak Hadir  Jumaat  Pada hakikatnya, mereka yang tidak hadir ke masjid untuk  menunaikan sembahyang Jumaat itu sebahagiannya adalah mereka  yang tiada mempunyai keuzuran untuk tidak mengerjakan Jumaat,  manakala sebahagian lagi mempunyai keuzuran syara‘. 
Terdapat sedikit perbezaan dari segi waktu menunaikan  sembahyang Zuhur bagi dua golongan tersebut sepertimana dalam  penjelasan berikut:  1. Tiada keuzuran meninggalkan Jumaat  Bagi orang yang wajib ke atasnya sembahyang Jumaat namun  tidak menghadirkan dirinya ke masjid berjemaah tanpa keuzuran,  maka wajib ke atasnya mendirikan sembahyang Zuhur setelah  selesai Jumaat didirikan dengan segera.  Tidak harus baginya menunaikan sembahyang Zuhur  sebelum selesai sembahyang  Jumaat didirikan. Ini kerana pada asalnya dia diwajibkan dan  dituntut untuk sembahyang Jumaat. 
Sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang Zuhur sebelum  selesai Jumaat, iaitu sebelum selesai imam memberi salam dalam  sembahyang Jumaat kerana kejahilannya, maka sembahyang Zuhur  yang dikerjakannya itu tidak memadai atau tidak sah, sebaliknya  hanya dianggap sebagai sembahyang sunat sahaja. Oleh yang  demikian, wajib ke atasnya mengulang semula sembahyang Zuhur  dengan segera.  Namun perlu diingat, jangan dipermudah-mudahkan dan  dipandang ringan perkara meninggalkan Jumaat dengan senghaja.  Ini kerana mereka yang tidak berjemaah sembahyang Jumaat  dengan tiada apa-apa keuzuran untuk meninggalkan Jumaat,  sekalipun dia sembahyang Zuhur secara bersendirian, maka dia  dihukumkan berdosa besar.
Apatah lagi jika dia meninggalkannya  tiga kali berturut-turut, maka hatinya akan dicapkan oleh Allah  Subhanahu wa Ta‘ala sebagai hati orang munafiq sebagaimana  yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi  wasallam.  2. Mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat  Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib  menunaikan sembahyang Jumaat, dia diharuskan memilih sama  ada untuk menunaikan sembahyang Zuhur ataupun sembahyang  Jumaat.  Ulama menjelaskan bahawa orang yang mempunyai keuzuran  meninggalkan Jumaat terbahagi kepada dua, iaitu orang yang  mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang dan orang  yang keuzurannya tetap atau tidak hilang.
Penjelasannya seperti  berikut:  (a) Orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya  akan hilang sebelum habis sembahyang Jumaat, iaitu sebelum  imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, disunatkan  dan afdhal baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan  sembahyang Zuhur sehingga selesai sembahyang Jumaat,  yakni sehinggalah dia berputus harapan untuk mengerjakan  Jumaat. Tujuan melambatkan Zuhur itu ialah dengan harapan  uzurnya akan hilang dan dia dapat hadir sembahyang Jumaat.  Berikut dibawakan persoalan jika salah satu sembahyang  Zuhur atau Jumaat atau kedua-duanya sekali sudah  dikerjakan:
 i. Jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur pada awal  waktu, kemudian hilang keuzurannya itu sedangkan  masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang  Jumaat, maka tidaklah wajib baginya sembahyang  Jumaat, hanya disunatkan sahaja.  ii. Jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur kemudian  dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka  sembahyang fardhu yang dituntut ke atasnya sudah  tertunai dengan sembahyang Zuhurnya, manakala  sembahyang Jumaat adalah sebagai sembahyang sunat  baginya.  Secara amnya, orang yang mempunyai keuzuran masih tetap  digalakkan untuk hadir Jumaat sekalipun dia sudah  menunaikan sembahyang Zuhur.  (b) Bagi orang yang tidak hadir menunaikan sembahyang Jumaat  dan keuzurannya tetap atau tidak akan hilang, umpamanya  golongan perempuan dan orang sakit yang tidak berupaya,  orang yang kena bala atau wabak, wajib ke atasnya  mengerjakan sembahyang Zuhur dan disunatkan  menyegerakan Zuhur sebaik sahaja masuk waktunya agar  tidak kerugian daripada memperolehi ganjaran fadhilat  sembahyang pada awal waktu. 
Malahan disunatkan juga untuk dikerjakan secara berjemaaah pada waktu yang  ditetapkan.  Bagi orang yang ada keuzuran untuk meninggalkan sembahyang  Jumaat, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian 2 (a) dan  (b), jika dia bersembahyang Jumaat, maka sembahyang Jumaatnya  itu sudah memadai dan dia tidak perlu lagi untuk bersembahyang  Zuhur.  Sebagai kesimpulan mereka yang mempunyai keuzuran  meninggalkan Jumaat seperti golongan perempuan, kanak-kanak,  orang sakit, musafir, pengsan atau hilang akal yang bukan  disebabkan oleh perkara yang diharamkan oleh syara‘, disunatkan  baginya untuk menunaikan sembahyang Zuhur pada awal  waktunya untuk merebut ganjaran dan fadhilat sembahyang pada awal waktu. Manakala bagi yang mempunyai keuzuran dan dia  mengharap atau menantikan keuzurannya itu boleh atau akan  hilang sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat,  maka disunatkan baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan  sembahyang Zuhur sehingga imam selesai menunaikan  sembahyang Jumaat.  Manakala bagi mereka yang meninggalkan sembahyang Jumaat  tanpa sebarang keuzuran dianggap berdosa besar dan diwajibkan  ke atasnya sembahyang Zuhur. Hendaklah dia mengakhirkan  sembahyang Zuhur sehingga imam memberi salam dalam  sembahyang Jumaat. Adapun jika dia mengerjakan sembahyang  Zuhur sebelum imam memberi salam, maka sembahyang Zuhur  yang dikerjakannya itu adalah tidak memadai. Bahkan hendaklah  dia mengulang kembali sembahyang Zuhur yang dikerjakannya.




ikalan saiz 250





JOM DERMA IKHLAS KE :


loading...

0 Response to "SOLAT ZOHOR WANITA PADA HARI JUMAAT"

Post a Comment

loading...
'));