loading...

Rahsia & Kelebihan Umur Lanjut



iklan responsive


Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) tentang kebenaran serta berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) dengan sabar.(3) – (Al ‘Asr [103 ] : 1-3)

“Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?” (Yasiin [ 36 ] : 68)

Pesan Ustaz; Umur Tua bukan satu perkara yang remeh, sebab itulah kita harus ambil perhatian yang serius.
Ustaz membuka kuliah tafsirnya dengan membaca surah Al ‘Asr [103 ] ayat 1-3; dan surah Yasiin [ 36 ] ayat 68 .

Ini adalah berkaitan dengan umur yakni masa yang Allah berikan kepada kita manusia yang ditugaskan melaksanakan tugas kekhalifahan atau tugas ibadah di muka bumi. Allah memberi peringatan tentang kritikalnya masa sehingga Allah bersumpah dengannya. Betapa Allah nak ingatkan kita supaya menggunakan masa (umur) yang Allah beri, tepat seperti yang Allah tetapkan. Sekiranya kita tidak menggunakan sebaik-baiknya masa, umur, peluang, kesempatan dan apa jua istilahnya kita benar-benar rugi.

Umur dikira bermula sejak lahir hingga satu masa yang ditetapkan atau dimulai dengan kelahiran dan diakhiri dengan kematian, ada pendek dan ada yang panjang. Rugi atau tidaknya seseorang itu di dunia dan akhirat adalah bergantung kepada bijak atau tidak dia memanfaatkan umurnya (mengurus masa).

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Al-An’aam [ 6 ] ayat 2 bahawa jangka umur kita bukan untuk kekal tetapi untuk binasa.

Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian Dia telah menetapkan ajal (kematian kamu) dan ajal yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan). – (Al-An’aam [ 6 ] : 2)

Apa yang penting di sini bukanlah panjang atau pendeknya umur kita tetapi adalah perhatian yang harus kita beri kepada setiap peringkat/tahapan umur agar kesemuanya dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Secara umum umur dibahagikan kepada tiga tahapan, iaitu kanak-kanak, remaja dan tua. Namun ada seorang pakar psikologi telah membahagikan umur kepada 10 tahapan seperti berikut:

Tahapan Pertama: Masa Kanak-kanak (Sejak dilahirkan hingga 7 tahun).

Pada tahapan ini perkembangan jasmani dan rohani 100% adalah mengikut sunnatullah (ketentuan Ilahi). Sebab itulah tidak hukuman atas apa jua kesalahan yang dilakukan dan tidak ada ganjaran atas apa jua kebaikan yang dilakukannya.

Tahapan Kedua: Zaman Remaja (8 hingga 14 tahun).

Pada masa ini muncul semangat berlumba-lumba dalam semua hal. Ia mula ingin menonjol (ingin berbeza) daripada orang lain, maka di sinilah perlunya hubungan luar biasa daripada kedua ibu bapa dan masyarakat di sekelilingnya. Mereka perlu diberi nasihat dan bimbingan yang lebih.

Tahapan Ketiga: ‘aqil baligh (15 hingga 21 tahun).

Telah mula sempurna rohani dan jasmaninya. Pada peringkat remaja ini mereka telah mula berangan-angan dan bercita-cita tetapi banyak pula yang memiliki sifat cacat rohani. Di sinilah bermulanya seseorang itu menjadi ‘egois’, suka membangkang dan menentang serta sukar diarah. Mereka rasa mereka mampu berdikari. Gejala sosial mula pada peringkat ini. Maka di sinilah mereka perlu diberi pengawasan dan kawalan yang sewajarnya kerana mereka mula suka melanggar peraturan.

Tahapan Ke empat: Dewasa (21 hingga 26 tahun).

Pada peringkat ini mereka seharusnya sudah boleh dianggap dewasa dan matang, namun di sinilah mereka sering didorong nafsu libido yang sangat kuat. Waktu inilah yang amat tepat segera mencarikan pasangan hidup (ideal untuk bina rumah tangga) supaya nafsu tersalur dengan baik bagi pertumbuhan jasmani dan rohani yang baik. Rasulullah saw berkahwin ketika berumur 25 tahun.

Tahapan Ke Lima: Dewasa Sempurna (27 hingga 35 tahun).

Ketika ini pertumbuhan jasmani dan rohani terkuat. Akal dan fikiran sudah terbuka, jelas, tegas dan tidak ragu dalam merencana diri dan keluarga.

Tahapan Ke Enam: Pertengahan Umur (36 hingga 40 tahun)

Tahap ini sudahpun pertengahan perjalanan hidup. Pada masa ini hati mantap dan tetap. Kematangannya amat nyata. Waktu inilah kebanyakan Nabi dan Rasul di angkat menjadi Nabi atau Rasul. Ini adalah waktu sepatutnya dijadikan kayu ukur atau penanda aras sama ada kita berjaya di dunia atau di akhirat.

Tahapan Ke Tujuh: Umur Setengah Tua (41 hingga 50 tahun).

Pesan Ustaz pada peringkat umur ini janganlah kita merasa masih muda. Ramai yang enggan dipanggil tua pada tahapan umur ini serta agak rasa bosan dengan hidup jika tidak ada apa-apa yang mencabar. Ada yang kurang selera makan. Pada peringkat ini ada yang cenderung kepada agama dan mempunyai kesedaran tentang kematian dan dengan itu dia banyak bertaubat. Walaupun boleh dikatakan agak sudah terlambat, namun belum dikira sebagai terlalu terlambat.

Tahapan Ke Lapan : Menurun (51 hingga 65 tahun).

Ibarat roket atau bunga api, masa mula-mula dilepaskan meluncur laju tapi bila tak mampu lagi naik dia akan mulai menurun. Boleh diertikan seperti tidak ada ‘pick-up’ dan agak kurang bermaya dalam semua aspek. Kekuatan fizikal dan mental juga menurun. Penyakit-penyakit mula ketara dan banyak penyakit-penyakit yang kronik. Umur 60 tahun adalah satu tanda aras kritikal.

Tahapan Ke Sembilan : Masa Tua (65 hingga 75 tahun).

Pada tahapan ini penuh dengan cubaan kerana pelbagai penyakit menyapa, perlu pertolongan pihak ketiga. Bagi yang tidak tabah akan menderita.

Tahapan Ke Sepuluh : Umur Sangat Tua/Tua Bangka (75 hingga Seterusnya).

Sungguh lebih hebat penderitaan orang ini. Ada yang menjadi pikun. Jika sebelumnya tidak ada pengisian rohani, maka ketika ini hidupnya akan lebih menderita. Rohani dan jasmani juga terkesan. Daya ketahanan amat rendah.

Pesan Ustaz; perkara ini bukan satu perkara yang remeh, sebab itulah kita harus ambil perhatian yang serius.

Sehubungan dengan fakta di atas, Rasulullah saw menyuruh kita memberi tumpuan khusus kepada umur 40 dan 60 tahun.

Umur 40 tahun adalah umur amat matang, mudah megerti dan memahami fakta-fakta kehidupan. Boleh berfikir dan bertindak secara rasional. Umur ini adalah seperti umur ‘tanda aras/kayu pengukur’ bagi menentukan nasib seseorang di akhirat nanti. Jika pada umur ini seseorang itu masih rakus berbuat maksiat dan tidak langsung rasa bersalah apabila meninggalkan perintah dan melanggar segala larangan Allah swt maka pasti dia menempah tempat di Neraka. Ini kerana pada ketika berumur 40 tahun seharusnya sudah tahu berfikir, faham bahawa perbuatan maksiat itu salah.

Allah memberi perhatian khusus tentang angka 40 ini:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu/berserah diri).” (Al-Ahqaf [ 46 ] : 15)

Ayat ini menyatakan umur 40, iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Syaratnya dia mulai daripada sejak dia baligh lagi. Banyak hadis dibacakan oleh Ustaz dan dikisahkan bahawa ramai Ulama’ yang mencapai umur empatpuluhan sudah bersungguh-sungguh dalam beribadah. Sudah mula melipat tempat tidurnya, iaitu mengurangi tidurnya.

Dalam ayat ini juga Allah berpesan supaya;

1) berbakti kepada kedua ibu-bapa (ada ayat lain dalam surah al-Isra’ dan Luqman) kerana jika dia sudah 40 tahun pasti ibu-bapanya sudah melepasi 60 tahun, umur yang memerlukan banyak bantuan.

2) Mensyukuri nikmat iaitu dengan beramal soleh yang diredhaiNya (menjadikan semua nikmat yang Allah berikan kepada kita untuk beramal soleh)

3) Bertaubat dan berserah diri, maksudnya tidak mahu lagi buat maksiat dan menyedari kita adalah hak Allah dan akan kembali kepadaNya. Maknanya apabila sudah mencapai umur 40 tahun sudah tidak ada dosa, sudah capai puncak keIslaman dan berjaya mendidik putera dan puterinya.

Biasanya kita ni jika disebutkan 40 tahun, merasakan masih muda ada pula yang kata “Life is begin at 40′. Semua ni tidak betul sebab sepatutnya inilah masa penanda aras menentukan sama ada kita ke syurga atau neraka.

“Jika sampai umur 40 tahun dan tidak ambil tahu langsung tentang asal kejadiannya, dan kewajibannya dan tidak mahu bertaubat, maka Syaitan akan mengusap dahinya dan gembira dia kerana orang ini tidak ada gunanya di dunia dan di akhirat”.

Berkaitan umur 60 tahun pula hadis daripada Abu Hurairah melaporkan Nabi saw sebagai berkata : “Kebanyakan umur umatku adalah 60-70 tahun. Sedikit daripada mereka yang lebih daripada itu”.

Daripada Qatadah; Orang yang dipanjangkan umurnya ialah orang yang mencapai 60 tahun dan orang yang pendek umurnya ialah orang yang meninggal sebelum 60 tahun.

Jadi menurut agama; orang yang dipanjangkan umurnya ialah orang yang mencapai 60 tahun dan lebih. Maka umur 60 tahun ini juga perlu diberi perhatian yang berat. Jangan bangga jika mencapai umur begini masih boleh makan apa sahaja tak perlu pantang sebab umur ini adalah umur batas akhir ibarat jika sudah ada di medan perang tetapi masih belum bersedia dengan peralatan tandanya akan kalah (tiada alasan kenapa tak siap, kenapa tak bawa pedang dan sebagainya sebab masa tu sepatutnya alat dah sedia lengkap).

Oleh kerana itu , amat keterlaluan jika orang-orang yang sudah berusia lebih daripada 60 tahun masih juga melakukan maksiat. Sabda Rasulullah saw, “Allah swt tidak akan menerima dalih/alasan seseorang sesudah Dia memanjangkan usianya hingga 60 tahun”. (HR Al-Bukhari).

Umur ini sepatutnya telah banyak beramal soleh. Tiada lagi tolak ansur yang dibenarkan dalam perbicaraan di akhirat nanti. Umur 60 adalah umur ibarat di medan perang, iaitu jaya atau gagal. Apa jua alasan Allah tidak akan terima. Mengapa demikian?. Lihat surah Fathir [35 ] ayat 11 yang bermaksud:

“Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada (setitis) air benih, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan) dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina) dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah dan tidak diberikan seseorang berumur panjang (dipanjangkan umurnya), juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah”. (Fatir [35] : 11)

Para mufassir menyatakan bahawa 60 tahun adalah umur yang dipanjangkan berdasarkan hadis dan ayat di atas dan juga ayat (Yasiin [ 36 ] : 68) di bawah.

“Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?” (Yasiin [ 36 ] : 68)

Apabila sampai umur 60, tiada lagi peluang. Jika tidak taubat, maka Nerakalah tempatnya.Tidak guna lagi meminta tolong. Dalam surah yang sama Fathir [ 35 ] ayat 37 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan.’ Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun”. (Fathir [ 35 ] : 37)

Dalam ayat di atas, di neraka nanti ada yang mohon kepada Alah untuk dikeluarkan daripada neraka dan kembalikan ke dunia supaya mereka dapat buat amal soleh. Lalu Allah akan menyindir keras, bukankan Aku dah panjangkan umur kamu dan aku beri peringatan.

Pemberi peringatan yang dimaksudkan di sini ialah penuaan seperti uban dan pelbagai penyakit yang bertandang, kekuatan fisikal menurun, mata dah kabur, gigi banyak yang gugur, lututpun kendur dan lain-lain lagi.

Umur 60 tahun sudah dekat dengan ajal kematian. Pada umur ini seharusnya kita “mengintai-intai kematian”, iaitu perjumpaan manusia dengan Penciptanya. Umur 60 tahun dikira mengikut pusingan bulan dan bukan pusingan matahari, iaitu umur tahun qamariah yakni apabila kita berumur 58 bermakna kita sudah berumur 60 tahun ikut kiraan qamariah.

Ada dalam hadis; tanda tua dan hampirnya ajal ialah uban di kepala. Kata ustaz, ada hadis Nabi saw melarang kita mencabut uban kerana itu adalah “cahaya Iman” bagi mereka yang beramal soleh. Sebab itu jangan dicabut uban. Uban ini akan menjadi saksi pengabdian kita. Jika nak mewarnakannya boleh tetapi dengan sayarat bukan dengan warna hitam.

Sebagai kesimpulan ustaz mengingatkan supaya kita jangan mengambil mudah tentang umur. Ini bukan remeh kerana Allah dah bersumpah dengannya. Kita juga hendaklah berilmu dan beramal dengannya, ada ilmu tetapi tidak beramal bukanlah segala-galanya. Ibadat pula bukan kuantiti tetapi kualiti.

Rasulullah saw bersabda, “Tak akan berganjak kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya, dihabiskan untuk apa; tentang masa mudanya, dipergunakan untuk apa; tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan untuk apa dibelanjakan; dan tentang ilmunya, apakah sudah diamalkan”. (HR At-Tarmidzi).

Usia lanjut juga merupakan sebuah keistimewaan. Dalam sebuah hadits qudsi Rasulullah saw menyampaikan firman Allah SWT, “Demi kemuliaan-Ku, keagungan-Ku, dan keperluan hamba-Ku kepada-Ku, sesungguhnya Aku merasa malu menyiksa hamba-Ku, baik laki-laki mahupun perempuan, yang telah beruban kerana tua dalam keadaan muslim”. Dalam hadits lain beliau bersabda, “Sebaik-baik di antara kalian ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya”. (HR At-Tarmidzi).

Sekian, mudah2an memberi manfaat.

Nota Kuliah Maghrib,Masjid Al Aman,Lembah Jaya,Ampang Selangor.Pada Isnin 11hb September 2017

Sumber Teks yg sama dgn isi kuliah.

ikalan saiz 250





JOM DERMA IKHLAS KE :


loading...

0 Response to "Rahsia & Kelebihan Umur Lanjut"

Post a Comment

loading...
'));